Pengenalan

Kesatuan fikrah dan amal di antara qiadah dan jundiah serta kejelasan visi dan misi perjuangan di dalam membina sesebuah gerakan adalah asas utama yang perlu dibina, dibaja dan di perkemaskan. Aspek tarbiyah atau pendidikan jamaah adalah mekanisme utama yang perlu diprogramkan. Dengan kata lain agenda tarbiyah yang tersusun, sistematik, berobjektif serta terkawal perlu dipraktik dan dihadamkan dalam usaha pembinaan ahli-ahli parti yang musta’id dan berjiwa pendakwah yang sesuai dengan cita-cita Islam yang diperjuangkan.

Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) ialah sebuah institusi latihan yang ditubuhkan oleh Lajnah Tarbiyah PAS Pusat yang bertujuan untuk memberikan latihan perkaderan, kepemimpinan dan dakwah secara nizomiyah kepada pimpinan dan ahli-ahli PAS. ILHAM ditubuhkan secara rasmi pada 1994 dan beroperasi di Markaz Tarbiyah PAS Pusat (sekarang KUIZM).

ILHAM menawarkan kursus-kursus untuk mencapai sasaran “Mengulamakkan intelektual dan mengintelektualkan ulamak” meliputi beberapa program iaitu pengajian Islam, bahasa dakwah, pengurusan organisasi dan kefahaman visi perjuangan PAS.

Program-program yang ditawarkan adalah seperti berikut:

1)  Pengajian Islam (ILPI)

Objektif program ini adalah untuk menawarkan pendidikan berterusan dalam meningkatkan pengetahuan agama Islam secara formal kepada pimpinan dan ahli-ahli PAS. Peningkatan pengetahuan agama secara tersusun ini akan membentuk pimpinan dan ahli-ahli yang sentiasa bergerak dalam perjuangan yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

2)  Kursus Bahasa Dakwah (ILBD)

Objektif program ini ialah untuk menawarkan kursus-kursus kemahiran bahasa yang mempunyai nilai dalam pembangunan dakwah Islamiyah, khususnya untuk membentuk daie yang menguasai bahasa al-Quran dan berupaya berinteraksi dengan masyarakat majmuk sebagai mad’u dakwah di Malaysia.

3)  Kursus Pengurusan dan Organisasi (ILPO)

Objektif program ini ialah untuk menawarkan kursus-kursus jangka pendek yang boleh membantu pimpinan dan ahli-ahli PAS memiliki kemahiran dalam menggerakan organisasi jamaah secara yang tersusun dan bermunazomah dalam mencapai objek perjuangan Islam.

4)  Kursus Kefahaman dan Visi (ILKV)

Objektif program ini ialah untuk menawarkan kursus-kursus jangka pendek yang boleh meningkatkan kefahaman pimpinan dan ahli-ahli PAS terhadap aspek-aspek penting dalam perjuangan Islam bagi mencapai sasaran penyatuan fikrah dan amal.