Sejarah

Kesatuan fikrah dan amal di antara qiadah dan jundiah serta kejelasan visi dan misi perjuangan di dalam membina sesebuah gerakan adalah asas utama yang perlu dibina, dibaja dan di perkemaskan. Aspek tarbiyah atau pendidikan jamaah adalah mekanisme utama yang perlu diprogramkan. Dengan kata lain agenda tarbiyah yang tersusun, sistematik, berobjektif serta terkawal perlu dipraktik dan dihadamkan dalam usaha pembinaan ahli-ahli parti yang musta’id dan berjiwa pendakwah yang sesuai dengan cita-cita Islam yang diperjuangkan.

Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) ialah sebuah institusi latihan yang ditubuhkan oleh Lajnah Tarbiyah PAS Pusat yang bertujuan untuk memberikan latihan perkaderan, kepemimpinan dan dakwah secara nizomiyah kepada pimpinan dan ahli-ahli PAS. ILHAM ditubuhkan secara rasmi pada 1994 dan beroperasi di Markaz Tarbiyah PAS Pusat (sekarang KUIZM).

ILHAM menawarkan kursus-kursus untuk mencapai sasaran “mengulamakkan intelektual dan mengintelektualkan ulamak” meliputi beberapa program iaitu pengajian Islam, bahasa, dakwah, pengurusan organisasi dan kefahaman visi  dan misi perjuangan PAS.

Sebagai langkah awal, ILHAM telah beroperasi di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar semenjak akhir 1994 dan mula menawarkan program-program akademik secara pendidikan jarak jauh (PJJ) mulai sesi 1995 di bawah pimpinan Prof. Dato' Dr Zulkifli Yusof sebagai pengarah. Program pertama yang ditawarkan ialah Diploma Tasawur Islam (DTI). Bagi mengembangkan lagi peranan ILHAM, pada 26 November 1996, ILHAM telah menganjurkan satu seminar kebangsaan untuk membincangkan modul-modul bagi kursus ILHAM Kefahaman dan Visi (ILKV). Hasilnya sebanyak 15 modul telah diluluskan dan mula dilaksanakan melalui kursus jangka pendek di seluruh negara. Turut dilaksanakan semenjak 1997 ialah kursus ILHAM Pengurusan dan Organisasi (ILPO).

ILHAM juga telah berjaya membuka cawangan-cawangan di seluruh negara di mana di setiap negeri mempunyai cawangan ILHAM. Walau bagaimanapun, selepas Konvokesyen kesembilan ILHAM pada akhir 2003, ILHAM menghadapi sedikit masalah dalam pentadbirannya yang menyebabkan ILHAM Pusat tidak dapat menawarkan kursus, tetapi ILHAM negeri berjalan seperti biasa, khususnya di Johor. Bagi memulihkan semula ILHAM, pada 2007, Lajnah Tarbiyah PAS Pusat telah melantik Ustaz Idris Ahmad sebagai pengarah baru ILHAM. Hasilnya, pada 19 Januari 2008, ILHAM menawarkan satu program baru, Diploma Kepemimpinan Islam. Namun begitu, selepas tiga semester, perjalanan ILHAM Pusat terbantut semula akibat pengubahsuaian yang dilakukan di Markaz Tarbiyah PAS Pusat untuk membina Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamed (KUIZM). Namun begitu ILHAM cawangan di Johor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan terus bergerak. Kini ILHAM bangkit kembali. Bermula tahun 2011, ILHAM Pusat kembali beroperasi dan melebarkan sayapnya dengan membuka beberapa cawangan di negeri . Kini ILHAM mempunyai  sepuluh cawangan iaitu Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Negeri  Sembilan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Sepanjang sejarah ILHAM, institusi ini telah dipimpin oleh beberapa orang Pengarah iaitu:

  1. Ustaz Zulkifli Yusof (1992-1996)
  2. Dr. Sharee Endut (1996-1999) – Pemangku
  3. Prof. Madya Dr.  Zulkifli Yusof (1999-2004)
  4. Prof. Madya Dr. Yaacob Yusof (2004-2007) - Pemangku
  5. Ustaz Haji Idris Ahmad (2007-2009)
  6. Dr.  Asiah Ali (2009 – sekarang)